LONDON: Elton John memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) akan "terus mengurangkan dan mengancam pendapatan artis muda" ketika beliau menyokong kritikan Paul McCartney terhadap cadangan pembaharuan undang-undang hak cipta di United Kingdom (UK), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Penggunaan bahan dengan hak cipta untuk melatih model kecerdasan buatan kini menjadi subjek perundingan Kerajaan UK yang baru dilancarkan, bertujuan mengkaji cara artis boleh melesenkan dan memperoleh bayaran untuk penggunaan karya mereka, selain meningkatkan kepercayaan antara sektor kreatif dan AI.

John, 77, memberitahu The Sunday Times bahawa "rancangan sedang diatur untuk membolehkan syarikat AI mengabaikan undang-undang hak cipta tradisional yang melindungi mata pencarian artis."

"Ini akan membolehkan syarikat teknologi besar global mendapat akses percuma dan mudah kepada karya artis untuk melatih AI mereka serta menghasilkan muzik yang mampu bersaing," katanya.

"Ini akan terus mengurangkan dan mengancam pendapatan artis muda. Komuniti pemuzik menolak sepenuhnya cadangan ini."

Pemenang pelbagai anugerah termasuk Emmy, Grammy, Oscar dan Tony yang aktif menyokong artis muda itu turut menegaskan bahawa "keadaan kewangan industri, termasuk kos penganjuran konsert yang semakin meningkat, menjadikan kehidupan artis baharu semakin sukar."

"Tanpa perlindungan hak cipta yang kukuh, artis tidak dapat memperoleh pendapatan daripada karya mereka, dan ini meletakkan kedudukan UK sebagai peneraju seni dan budaya popular dunia dalam keadaan bahaya yang serius," katanya.

Kerajaan UK sedang mengkaji rancangan yang mungkin membolehkan syarikat AI menggunakan kandungan syarikat media, kecuali mereka memilih untuk menarik diri secara khusus.

Pada Ahad, penyanyi kumpulan Beatles, McCartney, turut tampil dalam program Sunday With Laura Kuenssberg di BBC One dan berkata:"Anda ada artis muda yang menulis lagu indah, tetapi mereka tidak memiliki hak terhadap karya itu, malah sesiapa sahaja boleh menciplaknya."

"Faktanya, wang itu tetap mengalir ke suatu tempat... jadi mengapa bukan kepada orang yang menulis lagu seperti Yesterday? (lagu popular Beatles)."

McCartney, 82, merayu kepada kerajaan UK supaya mempertimbangkan semula cadangan itu dan berkata:"Kami adalah rakyat, anda adalah kerajaan. Tugas anda melindungi kami. Jika anda meluluskan sesuatu rang undang-undang, pastikan anda melindungi pemikir dan artis kreatif, jika tidak, anda tidak akan memiliki mereka."

Jurucakap kerajaan berkata: "Industri muzik UK benar-benar bertaraf dunia dan menghasilkan beberapa artis paling terkenal dalam sejarah.

"Itulah sebabnya kami melancarkan perundingan untuk memastikan rangka kerja hak cipta UK menawarkan perlindungan kukuh kepada artis berkaitan AI.

"Matlamat kami adalah menyediakan kepastian undang-undang melalui rejim hak cipta yang memberikan pencipta kawalan sebenar, ketelusan, dan membantu mereka melesenkan kandungan mereka.

"Kami ingin mendengar pandangan industri muzik mengenai cadangan ini dan tiada langkah akan diambil sehingga kami benar-benar yakin bahawa kami menyediakan kejelasan, kawalan, dan ketelusan untuk artis serta sektor ini, di samping akses data yang sewajarnya untuk inovator AI," katanya lagi.

-- BERNAMA