MENGHAMPIRI dua tahun tempoh bertunang, bagaimanapun aktor popular, Remy Ishak mengakui masih belum ada kata putus untuk ke jinjang pelamin.

Ujar Remy Ishak, 36 tahun atau Mohammad Zalimei Ishak, tempoh ini adalah waktu untuk bakal suri hatinya, iaitu Roszaliza Yusof mengenal dan memahami Remy dengan lebih mendalam.

"Tiada kata putus lagi ... cuma kekangan masa dengan jadual saya yang padat. Belum sampai jodoh. Kalau tuhan sekat tu sabarlah, benda-benda baik ini akan datang lambat.

"Ramai juga yang bertanya tapi saya hanyalah manusia yamg merancang. Memang saya plan nak langsungkan tetapi ada perkara yang tak boleh dijangka berlaku.

"Contohnya, mak saya sekarang, saya perlu beri lebih keutamaan dan masa kepadanya kerana beliau bakal menjalani pembedahan jantung dan tonsil.

Remy Ishak

"Justeru, saya juga kena sediakan wang yang secukupnya," jelasnya.

Meskipun berdepan dengan dugaan dan ujian Remy tetap positif dan berharap pihak sana dapat memahami situasi yang dihadapinya ketika ini.

"Bila ada ruang sedikit untuk ke fasa perkahwinan ada sahaja ujian lain, semuanya jodoh. Saya adalah orang positif, ada sebab kenapa ALLAH uji saya, mungkin saya belum sedia pikul tanggungjawab jaga anak orang.

"Oleh itu, andai ada kekurangan di pihak saya, pihak sana kena faham dan saya anak lelaki yang banyak tanggungan pada keluarga saya di sini.

"Kalau tak ada persefahaman susahlah nak teruskan perhubungan. Jadi, saya mencari pasangan yang betul-betul memahami saya. Tempoh dua tahun ini adalah proses untuk dia mengenal saya sebagai seorang pelakon.

"Kalau saya tidak melihat ada persefahaman bahaya, saya tak mahu ia berakhir dengan perceraian," akhirinya.

Remy ditemui pada tayangan episod pertama drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan, pada Rabu. Menerusi drama terbaharu arahan Rashid Sibir, Remy digandingkan dengan Mira Filzah sebagai watak utama Raid dan Naira.