Caliph Buskers secara tiba-tiba menjadi trending di media sosial setelah terlibat dalam persembahan bersama Mojo di Anugerah Juara Lagu 29 pada Ahad.

Kehadiran kumpulan pemuzik jalanan tersebut yang terdiri daripada golongan insan istimewa cacat penglihatan telah mengejutkan banyak pihak dan mengundang pelbagai reaksi yang luar biasa.

Stesen radio terkemuka Malaysia, Era fm juga tidak melepaskan peluang untuk menemuramah kumpulan pemuzik jalanan tersebut dalam segmen Johara Pagi Era.







Pelbagai reaksi juga dilontarkan di Twitter dengan kebanyakannya turut sama mengikuti perkembangan Caliph Buskers itu di radio berkenaan.





Caliph Buskers ditubuhkan sejak setahun yang lalu dan terdiri daripada enam orang, Fendy, 24; Mohd. Zaki Ismail, 36; Nirwan Zainal Abidin, 26; Khairul Azmi Saad, 28; Nor Nadira Rubiana, 24; dan Syahzmeen Abdul Rahman, 24.

Kumpulan ini kebiasaannya mengadakan persembahan pada setiap hari Sabtu sehingga Khamis selama tiga jam bermula jam 12 tengah hari di hadapan pusat membeli belah SOGO, di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Caliph Buskers mendapat perhatian ramai setelah mendendangkan lagu 'Romancinta' di Anugerah Juara Lagu 29 bagi menggantikan penyanyi asal kumpulan Mojo, Aweera.


Kumpulan tersebut memberikan persembahan yang begitu bertenaga malah sehingga berjaya merangkul anugerah persembahan terbaik.

Sementara itu, lagu ciptaan Joe Flizzow dan Sona One berjudul 'Apa Khabar' memenangi Anugerah Juara Lagu 29 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.

Sheila Amzah pula memenangi tempat kedua dengan lagu 'Masih Aku Cinta' manakala lagu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran berjudul 'Di Pintu Syurga' memenangi tempat ketiga.

Persembahan terbaik dimenangi persembahan kumpulan Mojo dan Caliph Buskers yang membawakan lagu 'Romancinta' ciptaan Edry Abdul Halim.

12 buah lagu bertanding dalam AJL kali ini.