KUALA LUMPUR: Penerbit dan pemuzik, Alvin Wee mengharumkan nama negara selepas menjadi rakyat Malaysia pertama yang dicalonkan untuk pengiktirafan dalam Anugerah Cinema Audio Society (CAS) 2022 di pentas Hollywood.

Memetik laporan Borneo Post, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu dicalonkan dalam kategori Pencapaian Cemerlang Adunan Bunyi bagi karyanya dalam siri animasi Disney, Encanto.

Wee berkata, beliau cukup berbangga kerana berada pada tahap itu, sekali gus dapat berdiri sebaris dengan calon-calon hebat yang lain.

"Saya amat berbangga kerana menjadi anak Malaysia dan Sarawak pertama mampu sampai ke peringkat ini," katanya memetik laporan portal tersebut.

Selain pencalonan itu, Wee, 34, juga meluahkan rasa gembira kerana Encanto berjaya dicalonkan dalam tiga kategori Anugerah Akademik termasuk Skor Asal Terbaik.



Anugerah CAS 2022 | Anak Sarawak Alvin Wee cipta sejarah tembusi Hollywood

Berkongsi mengenai pembikinan runut bunyi Encanto, Wee berkata, beliau dihubungi oleh rakan lamanya, Franco untuk menghasilkan sentuhan 'magis' dalam filem animasi tersebut.

"Franco bertanggungjawab terhadap perjalanan karier saya sejak dari awal. Meskipun banyak kolaborasi filem dan projek bersamanya, saya gembira apabila menerima panggilan daripadanya (pelawaan terlibat dalam filem Encanto).

"Apabila dia membawa saya ke studio dan memberitahu bahawa ini akan menjadi karya muzikal bersama gandingan muzik Colombia, tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju," ujarnya lagi.


Anugerah CAS mengiktiraf runut bunyi terbaik yang dihasilkan dalam filem dan televisyen,.

Wee mula bergiat dalam pengadunan latar muzik selepas menamatkan pengajian dalam jurusan program muzik di salah sebuah universiti di Boston, Amerika Syarikat (AS).

Perjalanan karier Wee semakin menyerlah apabila berpeluang menjadi pembantu penerbit dan bekerjasama dengan beberapa penyanyi antarabangsa seperti Bruno Mars, Katy Perry, Rihanna dan Beyonce.

Antara sentuhan magis beliau termasuk filem seperti Kingsman 2: The Golden Circle, Kung Fu Panda 3, The Zookeeper’s Wife, 13 Hours: The Soldiers of Benghazi dan Eddie the Eagle.