FORUM Ekonomi Dunia (WEF) menjangka lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada tarif dan dasar industri pada penggal kedua kepresidenan Donald Trump.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Borge Brende berkata, hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka berdepan cabaran besar sepanjang empat tahun akan datang iaitu di bawah pentadbiran Trump.

Trump dan Naib Presidennya JD Vance akan mengangkat sumpah pada 20 Januari 2025.

"Perkara ini akan menjadi menarik untuk melihat bagaimana ia berkembang kerana kedua-dua ekonomi ini saling terintegrasi, tetapi kita sudah melihat contohnya eksport China yang tidak bergantung sepenuhnya pada pasaran AS seperti dahulu.

"Beberapa tahun lalu, 25 peratus eksport China pergi ke AS. Hari ini, angka itu adalah 12 peratus, 13 peratus," kata Brende pada taklimat media secara maya yang diadakan bersempena dengan pelancaran Global Cooperation Barometer 2025 hari ini.

Beliau menjawab soalan mengenai impak penggal kedua Trump terhadap kerjasama global memandangkan presiden yang dipilih itu bukan penyokong besar institusi dan perjanjian multilateral.

Brende berkata, terdapat fenomena negara sekutu politik dan ekonomi (friendshoring atau allyshoring) apabila syarikat yang bersaing juga bekerjasama dalam beberapa bidang.

"Ini adalah perkara yang perlu kita biasakan dalam peraturan dunia baharu. Ia adalah peraturan dunia yang kompetitif dan saya rasa pentadbiran Trump yang baharu akan menyokong perkara ini," katanya.

Terdahulu, Brende berkata kos untuk dunia yang tidak bersepadu adalah tinggi.

"Sebagai contoh, di pihak perdagangan, jika kita melihat dunia yang proteksionis dan tidak bersepadu dalam perdagangan, ia boleh menyebabkan penurunan 7.0 hingga 8.0 peratus dalam produk domestik kasar global.

"Saya tidak fikir kita akan sampai ke tahap itu, tetapi saya hanya ingin katakan laporan (Global Cooperation Barometer) ini menunjukkan kita perlu terus mencari kaedah untuk bekerjasama," katanya.

Dalam laporan tersebut, WEF berkata kerjasama global secara keseluruhan yang menunjukkan aliran positif sepanjang sebahagian besar dekad lepas, tersekat akibat ketegangan geopolitik yang semakin meningkat selain persaingan yang menghakis keselamatan kolektif global.

Sehubungan itu, organisasi yang berpusat di Geneva itu berkata, tahap konflik dan krisis kemanusiaan yang berkaitan meningkat pada tahun lepas ke satu tahap rekod baharu, dipacu oleh krisis-krisis termasuk di Timur Tengah, Ukraine dan Sudan.

-- BERNAMA