Portal berita Bangkok Post melaporkan, jurucakap kerajaan Sansern Kaewkamnerd memberitahu Prayut sendiri merasakan beberapa peraturan tersebut agak keterlaluan.
Sebelum ini, satu garis panduan standard dan etika wartawan telah dikeluarkan oleh Cawangan Khas Polis negara itu sebagai langkah keselamatan.
Bagaimanapun, garis panduan itu mencetus kritikan dari orang awam dan petugas media.
Antara garis panduan etika lain yang dikenakan adalah:
- Tunjuk ‘isyarat hormat' sebelum dan selepas ambil gambar
- Sentiasa berpakaian pejabat
- Hantar kamera untuk pemeriksaan dan hanya gunakan kamera dengan tanda permit
- Daftarkan diri dalam sesuatu acara dan pakai gelang tangan khas
- Jangan berkelakuan tidak senonoh atau menggunakan bahasa tidak sesuai
Antara amalan standard lain ketika mengambil gambar Perdana Menteri, garis panduan itu juga mengingatkan supaya:
- Jangan ambil gambar secara berdepan ketika Perdana Menteri dalam bilik resepsi
- Jangan ambil gambar Perdana Menteri ketika beliau menaiki atau menuruni tangga
- Jangan ambil gambar ketika Perdana Menteri sedang makan
- Penggunaan cahaya dibenarkan tapi tidak melebihi 1,500 watt.
"Kita akan mengekalkan set peraturan standard, tetapi jika ada yang menimbulkan rasa tidak puas hati, kita harus nilai semula," ujar Prayut yang disampaikan melalui pegawainya.
Prayut menyedari garis panduan itu dibuat oleh pihak polis untuk tujuan keselamatan berdasarkan protokol antarabangsa, tetapi telah mengeluarkan arahan agar ia dinilai sekali lagi dan dilonggarkan sedikit, supaya tidak menyulitkan wartawan.
Perdana Menteri Thailand itu sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dengan para petugas media apabila mengelak untuk disoal, sebaliknya meletakkan kadbod yang dicetak dengan imejnya sendiri di lokasi tumpuan sidang media.
BACA: PM Thailand kini amalkan cara pelik untuk elak soalan wartawan