Sifat jujur, amanah dan cekap dalam diri masing-masing merupakan faktor penting bagi setiap graduan khususnya ketika memasuki alam pekerjaan,kata Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang juga merangkap Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) berkata elemen integriti merupakan salah satu etika kerja yang sangat penting kepada pencapaian hasil kerja yang berkualiti tinggi.

Katanya, dengan adanya integriti kerja ia berupaya mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam organisasi serta penghasilan mutu kerja yang berkualiti tinggi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Konvokesyen UTP ke-16 di sini pada Ahad.

Dalam majlis tersebut, seramai 87 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, 138 menerima Ijazah Sarjana manakala 1,244 lagi mendapat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pro-Canselor UTP Tan Sri Sidek Hassan dan Naib Canselor UTP Datuk Dr Abdul Rahim Hashim.

Abdullah, juga menyeru golongan belia untuk turut bersama dan bergiat aktif dalam proses pembangunan negara termasuk daripada segi penciptaan kekayaan.

Menurut beliau, para graduan perlu menggunakan ilmu yang diperolehi dengan inovasi dan kreativiti supaya dapat memberi nilai tambah dan akhirnya membawa kesejahteraan kepada masyarakat dan negara.

Jelasnya, adalah menjadi harapan universiti, agar para graduan dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman semasa di universiti bagi kemajuan serta kemakmuran masyarakat dan negara.

Sementara itu, Dr Abdul Rahim berkata UTP meneruskan pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan mencipta sejarah apabila menjadi universiti swasta pertama yang dianugerahkan penarafan enam bintang oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Tambahnya, penarafan berprestij tinggi telah melalui proses penilaian terperinci di bawah Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) bagi kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi.

Abdul Rahim menjelaskan, di peringkat Asia pula, sejak penyertaan UTP di QS Asia University Ranking pada 2013, UTP kini berada di kedudukan 127 iaitu peningkatan sebanyak 74 kedudukan.

Sementara itu, daripada sepuluh program Sarjana Muda yang ditawarkan di UTP, tiga daripadanya tersenarai di antara 300 program terbaik dunia iaitu Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Mekanikal serta Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Beliau berkata kejayaan yang dicapai menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kecemerlangan UTP sebagai universiti swasta terbaik bukan sahaja di negara ini malah sehingga ke peringkat global.