BANGKOK: Thailand pada Khamis mengesahkan kes mpox pertama yang direkodkan di negara itu adalah daripada strain Clade 1b.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Thongchai Keeratihuttayakorn berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki Eropah dipercayai dijangkiti wabak tersebut dari negara endemik.

Bagaimana pun, beliau menambah setakat ini tiada jangkitan tempatan lain dikesan melalui penjejakan kontak.

Thailand pada Rabu memaklumkan satu kes mpox yang lebih berbahaya dikesan melibatkan lelaki Eropah berusia 66 tahun yang tiba dari Afrika.

Pesakit itu melakukan perjalanan dari sebuah negara Afrika yang sedang mengalami penularan wabak dan transit di sebuah negara Asia Tengah sebelum tiba di Thailand pada petang 14 Ogos.

Minggu lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa.