BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Isnin memberi amaran tentang "kesan yang dahsyat" bagi seluruh rantau sekiranya serangan Israel di selatan Lubnan terus meningkat, lapor Agensi Anadolu.

Pada awal pagi Isnin, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke seluruh kawasan selatan dan timur Lubnan, menyebabkan ratusan terbunuh dan cedera.

Dalam satu kenyataan, UNIFIL menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam di selatan Lubnan di tengah-tengah pengeboman paling sengit oleh Israel sejak Oktober tahun lalu.

Ia memberi amaran bahawa peningkatan serangan dalam situasi berbahaya ini boleh membawa kesan yang meluas dan dahsyat, bukan sahaja kepada Lubnan, malah "rantau yang lebih luas."

Ketua Misi UNIFIL Jeneral Aroldo Lazaro Saenz sedang berhubung dengan kedua-dua pihak, menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan.

Usaha sedang dijalankan untuk mengurangkan ketegangan dan menghentikan serangan."

"UNIFIL sekali lagi mengulangi seruannya yang tegas untuk penyelesaian diplomatik dan mendesak agar mengutamakan nyawa orang awam serta memastikan mereka tidak terdedah kepada bahaya," menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa kesihatan Lubnan memaklumkan sekurang-kurangnya 274 orang, termasuk 21 kanak-kanak terbunuh dan 1,024 yang lain cedera akibat serangan Israel sejak pagi Isnin, dengan ribuan penduduknya terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Ketegangan antara Hizbullah dan Israel memuncak selepas serangan udara yang berlaku pada Jumaat, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, serta ramai lagi cedera di kawasan pinggir bandar Beirut.

Hizbullah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 16 anggotanya, termasuk pemimpin kanan Ibrahim Aqil dan komander tertinggi Ahmed Wahbi, terbunuh dalam serangan udara Israel itu.

-- BERNAMA