NEW YORK: Malaysia menyifatkan pembunuhan kejam pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, sebagai satu tindakan biadab rejim Israel.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia menyatakan kekesalan susulan kematian itu sambil menyifatkan Israel sebagai angkuh dan tidak menghormati keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita amat kesal. Israel kini menjadi sebuah negara yang amat biadab, bongkak, dan tidak peduli kepada saranan, pandangan, atau keputusan yang dibuat oleh PBB.

“Mereka sudah melampaui batas, dan kita perlu mengambil tindakan drastik untuk mengekang kebiadaban mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui delegasi media Malaysia selepas sesi perbahasan umum di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-79, di sini, pada Sabtu.

Justeru, Mohamad berkata terdapat keperluan bagi mengenakan embargo senjata ke atas Israel.

Ini bagi menghalang negara tersebut daripada terus menggunakan senjata untuk membunuh rakyat tidak bersalah, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

“Jika kita tidak mengambil tindakan segera, kebiadaban ini akan berterusan.

“Hari demi hari, tahun demi tahun, kita hanya bersuara seperti ‘anjing menyalak bukit’, tetapi tiada apa-apa perubahan.

“Saya juga menyatakan perkara ini kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan beliau turut menyatakan rasa kesal terhadap situasi ini,” ujarnya.

Pembunuhan Hassan Nasrallah, tindakan biadab rejim Israel

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah terkorban dalam serangan udara rejim Zionis di pinggir bandar selatan Beirut.

Menerusi satu kenyataan, Hizbullah menyatakan, “Seyyed Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hizbullah, telah menyertai rakan-rakan syahidnya yang agung dan abadi, yang jalannya dipimpinnya selama kira-kira 30 puluh tahun, gugur di jalan menuju Baitulmuqaddis dan Palestin."

Hizbullah menekankan kepimpinan Nasrallah selama berdekad dalam penentangan terhadap Israel, sambil menyatakan bahawa dedikasinya kepada perjuangan pembebasan Palestin telah mendefinisikan kehidupannya dan kini "kesyahidannya."

Nasrallah, yang menjadi Setiausaha Agung Hizbullah sejak 1992, memainkan peranan penting dalam pergerakan penentangan Lebanon, terutamanya dalam konfrontasi dengan tentera Israel.