WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan cedera dalam kejadian tembakan semasa berkempen di negeri Pennsylvania, AS pada Sabtu.

Agensi Anadolu melaporkan Trump dilihat berlumuran darah pada telinga kanannya ketika beliau dipindahkan dari pentas, menurut rakaman media sosial.

Perkhidmatan Rahsia berkata ia telah melaksanakan langkah perlindungan dan bekas presiden itu selamat.

"Ini kini merupakan penyiasatan Perkhidmatan Rahsia yang aktif dan maklumat lanjut akan dikeluarkan apabila tersedia," katanya.

Satu kenyataan berkata Trump dalam keadaan baik, sedang diperiksa kecederaan di kemudahan perubatan dan Rumah Putih berkata Presiden Joe Biden menerima taklimat mengenai insiden tembakan itu.

-- BERNAMA