Ada sahaja kontroversi apabila ia melibatkan Presiden Donald Trump.

Sidang kemuncak kumpulan G7 yang berlangsung di Kanada, turut jadi contoh terbaru.

Trump umum menarik semula sokongan terhadap kenyataan bersama yang dikeluarkan negara-negara G7 pada hujung sidang kemuncak itu, atas alasan Kanada tidak berlaku jujur kepada Amerika Syarikat.

Trump juga mendakwa beberapa negara lain mengenakan tarif besar-besaran ke atas negara itu.


Kenyataan bersama, yang memperakui sistem perdagangan berasaskan peraturan, dicapai di sebalik ketegangan yang berlaku berhubung tindakan Amerika mengenakan tarif ke atas import besi dan aluminium.

Kanada pada masa sama meneruskan keputusan mengenakan tarif yang mana banyak berpandangan ia satu tindakan balas dendam terhadap Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Justin Trudeau menyifatkan keputusan Trump mengenakan tarif berkenaan atas alasan keselamatan negara sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

"Adalah satu kekecewaan apabila Amerika Syarikat menggunakan alasan keselamatan negara untuk mengenakan tarif, tetapi adalah jelas kami akan mengenakan pendekatan sama bermula 1 Jun,

"Kanada adalah negara yang sopan dan wajar, tetapi kami juga tidak membenarkan kami dibuli," kata Trudeau dalam satu sidang media.

Sementara itu Kesatuan Eropah (EU) menegaskan akan tetap mengiktiraf kenyataan bersama yang dikeluarkan.