Ini berita sedih buat pencinta haiwan!

Seekor gorila, dipercayai yang tertua di dunia disahkan mati pada usia 63 tahun di Little Rock Zoo, Amerika Syarikat.

Menurut jurucakap zoo, Susan Altrui, gorila betina dikenali Trudy itu ditemui mati oleh penjaga zoo ketika pemeriksaan pada pagi Rabu.

Bagaimanapun, punca kematian Trudy tidak dimaklumkan.

Susan berkata Trudy diiktiraf oleh Persatuan Zoo dan Aquariums sebagai gorila tertua.

Trudy yang berasal dari Buffalo dibawa ke Little Rock Zoo pada tahun 1988 bersama gorila jantan, Ollie bagi proses pembiakan.

Trudy juga merupakan salah seekor gorila terakhir yang ditangkap di hutan.


Trudy merupakan spesis gorila tanah pamah barat – yang mana ia merupakan spesis yang mempunyai populasi tertinggi.

Bagaimanapun, menurut Pertubuhan Hidupan Liar Dunia (WWO), populasi haiwan itu mengalami penurunan iaitu sebanyak 60 peratus dalam tempoh 20 hingga 25 tahun lalu, akibat pemburuan haram dan penyakit.

Januari tahun lalu, gorila bernama Vila, yang dipercayai antara yang tertua di dunia mati pada usia 60 tahun di Taman Safari Zoo San Diego.