WASHINGTON: Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengancam untuk memberikan "tindak balas tegas dan segera" sekiranya Amerika Syarikat meneruskan pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas barangan Kanada yang dijadual berkuat kuasa pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Tiada siapa - di kedua-dua belah sempadan - yang mahu melihat tarif Amerika ke atas barangan Kanada," tulis Trudeau di platform X pada Jumaat.

"Saya bertemu dengan Majlis Kanada-AS hari ini. Kami sedang berusaha keras untuk menghalang tarif ini, tetapi jika Amerika Syarikat tetap meneruskannya, Kanada bersedia dengan tindak balas yang tegas dan segera," katanya.

Setiausaha Akhbar White House Karoline Leavitt pada Jumaat mengesahkan bahawa duti 25 peratus ke atas barangan dari Kanada dan Mexico akan berkuat kuasa pada Sabtu, bersama tarif 10 peratus ke atas produk China.

-- BERNAMA