Kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak segera terhadap konflik di Syria, telah menyebabkan rakyatnya menanggung derita dengan 70 ribu orang sudah dilaporkan terkorban.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi hak asasi kemanusiaan, Navi Pillay berkata, kegagalan anggota Majlis Keselamatan mencapai kata sepakat juga akan menyebabkan badan dunia itu diadili oleh masyarakat dunia.

Menurut Pillay, pada 2 Januari lalu, 60 ribu orang dilaporkan terkorban.

Kini jumlah tersebut dianggarkan meningkat kepada 70 ribu orang.

Justeru katanya adalah penting bagi PBB memberi isyarat jelas kepada rejim Presiden Bashar Assad dan kumpulan anti kerajaan agar menamatkan konflik berkenaan.

Majlis Keselamatan juga katanya tidak seharusnya berdiam diri lagi.

Negara kuasa dunia sebelum ini berbelah bagi mengenai usaha menamatkan konflik Syria.

Malah Rusia dan China menjadi pelindung kepada Syria, sekali gus menghalang PBB mengambil tindakan keras ke atas negara itu.

Bulan lepas, lebih 50 negara menggesa Majlis Keselamatan PBB merujuk Syria kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

PBB sebelum ini pernah merujuk Libya dan Sudan ke ICC.