KUALA LUMPUR:Rampasan kuasa menggunakan platform ketenteraan dan secara paksaan adalah jelas membuktikan satu tindakan yang bertentangan dengan amalan demokrasi di Myanmar.

Bekas Wakil Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, langkah yang tegas perlu diambil terhadap Myanmar berikutan rampasan kuasa pihak ketenteraan yang tidak berlandaskan keputusan pilihan raya.

Menurutnya, apa yang berlaku di Myanmar adalah rampasan kuasa secara paksaan meskipun kemenangan pilihan raya telah diputuskan yang memihak kepada NLD.

“Apa yang terbaik adalah gesaan untuk pihak ketenteraan untuk tidak campur tangan dalam urusan demokrasi dan system parlimen di Myanmar.

“Saya mengharapkan pihak tentera untuk serah kembali kuasa kepada pihak sepatutnya untuk laksanakan keputusan pilihan raya.

“Tindakan menahan beberapa individu ini juga jelas tidak diterima oleh masyarakat antarabangsa yang hanya bertujuan memperkukuhkan kuasa ketenteraan dan kita ingin lihat Myanmar ke arah proses demokrasi,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin .

BACA: Rampasan kuasa: Tentera Myanmar isytihar darurat satu tahun

BACA: Rampasan kuasa Myanmar: Wisma Putra suarakan kebimbangan serius

BACA: Rampasan kuasa Myanmar: Jeneral Min Aung Hlaing kini menjadi tumpuan

BACA: Rampasan kuasa Myanmar: Negara anggota ASEAN bincang kenyataan bersama - Kementerian Luar Brunei


Menurutnya lagi, apa yang berlaku sebelum ini juga membuktikan pihak ketenteraan mempunyai rekod yang amat buruk khususnya melibatkan isu hak asasi dan soal kerjasama yang hanya berlandaskan kekerasan untuk menentukan kuasa mereka.

Apa yang berlaku di Myanmar menyaksikan tempoh kurang 10 tahun rakyatnya menikmati proses demokrasi sebelum kembali dirampas junta tentera yang mendakwa proses pilihan raya hanya akan diadakan selepas setahun perintah darurat dikuatkuasakan.

Situasi di Myanmar ketika ini turut mendapat reaksi daripada Pengerusi ASEAN, yang menyeru Myanmar untuk mengadakan sesi dialog bagi memastikan proses perdamaian serta kembali kepada keadaan normal.