Menurut penganalisis tentera Israel, Alon Ben-David, tiada satu terowong terbuka yang ditemui di wilayah Mesir dan Koridor Philadelphi.
Koridor tersebut, sebuah kawasan tanpa tentera di sepanjang sempadan Mesir dengan Gaza, menjadi isu utama dalam rundingan gencatan senjata serta pertukaran tahanan antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkeras untuk mengekalkan kehadiran tentera kerana mendakwa koridor tersebut adalah ‘talian hayat’ bagi Hamas untuk menyimpan senjata.
Mesir menolak sebarang kehadiran tentera Israel di koridor itu dan mengecam dakwaan Netanyahu mengenai penyeludupan senjata ke Gaza melalui wilayahnya.
Ben-David menyifatkan dakwaan Netanyahu tidak tepat, kerana menurutnya kira-kira 80 peratus senjata Hamas dihasilkan sendiri di Gaza.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, pengunduran tentera Israel dari Koridor Philadelphi tidak menimbulkan masalah keselamatan kepada Israel.
Selama berbulan-bulan, Amerika Syarikat (AS), Qatar serta Mesir cuba mencapai persetujuan antara Israel dan Hamas untuk memastikan pertukaran tahanan, gencatan senjata serta membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.
Namun, usaha itu terhenti kerana keengganan Netanyahu untuk memenuhi tuntutan Hamas bagi menghentikan perang.