PUSAT Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thailand bersetuju memperluaskan satu lagi program pengecualian kuarantin - sandbox - ke destinasi pantai popular termasuk Pattaya, Si Racha dan Sattahip di wilayah Chonburi dan Koh Chang di wilayah Trat.

Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini.

"Di bawah skim ini, pelancong dikehendaki mengambil dua ujian RT-PCR - semasa ketibaan dan lima hari kemudian," katanya sambil menambah pelancong perlu berkuarantin di hotel sementara menunggu keputusan ujian.

Bagaimanapun, program itu telah digantung pada akhir Disember atas kebimbangan penularan varian Omicron.

Di bawah inisiatif 'sandbox', pengembara boleh elak kuarantin wajib dan melakukan perjalanan bebas di kawasan tertentu selama tujuh hari serta menjalani dua ujian COVID-19.

Sehingga kini, terdapat empat destinasi di bawah program 'sandbox' iaitu Phuket, Phang Nga, Krabi dan Koh Samui.

Sementara itu, Maratee berkata CCSA juga menyusun semula zon kawalan COVID-19 dengan Zon Kawalan dikurangkan kepada 44 dan 25 lagi dikategori sebagai Kawasan Pengawasan Tinggi.

Beliau berkata program 'sandbox' kekal di lapan wilayah - Bangkok, Kanchanaburi, Krabi, Chonburi, Nonthaburi, Pathum Thani, Phang Nga dan Phuket.

"Restoran di Kawasan Pengawasan Tinggi dan Kawasan 'sandbox' dibenarkan menyediakan minuman beralkohol dari 9 malam hingga 11 malam," katanya.

Sementara itu, perintah darurat akan dilanjutkan sehingga Mac tahun ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 8,129 kes baharu COVID-19 dan 19 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,353,062 kes dan 21,987 korban.

-- BERNAMA