SEEKOR buaya terpaksa menjalani pembedahan dua bulan selepas reptilia sepanjang 3 meter itu tertelan kasut seorang pengunjung Taman Zoologi Buaya St. Augustine di Florida, Amerika Syarikat.

Buaya seberat 160 kilogram itu, yang diberi nama Anuket, dilihat menyambar kasut seorang pengunjung sebaik sahaja ia terjatuh ke dalam kurungannya yang terletak di bawah jambatan gantung pada bulan Disember 2020.

Dalam kurungan berkenaan, terdapat seekor lagi buaya bernama Sobek.

"Pasukan kami terlihat Anuket menelan kasut berkenaan, memuntahkannya, dan menelan ia semula sebelum kami dapat mengambil kasut itu," kata zoo berkenaan dalam satu kenyataan di muat naik di media sosial.

"Reptilia ini akan menggigit dahulu sesuatu benda bagi menentukan ia makanan atau tidak sebelum menelannya.

"Kami memperhatikan Anuket dengan harapan ia akan memuntahkan semula kasut berkenaan," tambah kenyataan itu.

Selepas beberapa minggu, pihak Taman Zoologi Buaya St. Augustine mengambil keputusan untuk mengeluarkan kasut berkenaan dari perut buaya tersebut.

"Teknik cuci perut atau flushing sering dilakukan apabila seekor buaya menelan sesuatu yang tidak boleh dihadam atau dalam kajian saintifik bagi mengetahui apa yang dimakan oleh buaya," kata pihak taman tersebut.

Namun apabila kaedah itu gagal, Anuket terpaksa menjalani pembedahan.

"Pembedahan ke atas Anuket berjaya dijalankan, dan kini ia telah kembali ke taman tersebut dan sedang menjalani sesi pemulihan.