PHNOM PENH: Di sebalik kemajuan ekonomi dan pemodenan pesat di Asia Tenggara, tersembunyi satu perdagangan kejam iaitu penternakan beruang untuk mendapatkan hempedunya, apabila cecair diekstrak secara kasar daripada pundi hempedu haiwan itu.

Menurut pakar hidupan liar, anak-anak beruang, terutamanya beruang coklat, beruang matahari (juga dikenali sebagai beruang Malaya) dan beruang bulan, dirampas daripada ibu mereka dan dikurung dalam sangkar kotor oleh pengendali penternakan untuk mendapatkan hempedu yang digunakan dalam perubatan tradisional.

Di negara seperti China, Laos, Vietnam dan Korea Selatan, amalan ini terus berkembang sejak 1980-an, meskipun terdapat kempen antarabangsa yang menentangnya.

Pengurus Kempen Wildlife's Not Medicine dari World Animal Protection, Evan Sun, memberitahu Bernama bahawa beruang liar ini secara tragis diubah menjadi komoditi dan dinafikan hak untuk hidup bebas di habitat semula jadinya.

"Penternakan hempedu beruang sangat kejam. Sejumlah besar hempedu mereka diekstrak dan diubah menjadi serbuk, kapsul dan salap. Beruang ini terpaksa mengalami proses menyakitkan dan sering dipaksa hidup dalam sangkar kecil dalam keadaan yang mengerikan sepanjang hayat mereka, yang boleh mencapai sehingga 20 tahun," katanya melalui e-mel.

World Animal Protection ialah sebuah organisasi global yang telah berusaha tanpa henti selama 70 tahun untuk menamatkan eksploitasi haiwan.

Perpustakaan Perubatan Kebangsaan Amerika menyifatkan kaedah ekstraksi ini sebagai "teknik fistula titisan hempedu secara langsung," iaitu satu tiub (kateter) dimasukkan ke dalam pundi hempedu beruang oleh individu bukan veterinar untuk mengalirkan hempedu.

Selepas proses itu, beruang itu dibiarkan menderita tanpa rawatan perubatan, dan ada yang mati akibat pencemaran atau kanser.

Hempedu beruang mengandungi tahap tinggi asid ursodeoxycholic (UDCA) yang digunakan untuk merawat penyakit hati dan pundi hempedu pada manusia. Dalam perubatan tradisional Asia, hempedu beruang digunakan untuk meredakan keradangan, demam, detoksifikasi dan mengurangkan bengkak atau kesakitan.

"Beruang ialah antara haiwan liar yang paling ikonik di dunia, namun ribuan ekor sedang mengalami penderitaan yang melampau sepanjang hidup mereka. Kami telah berusaha menamatkan penternakan hempedu beruang selama lebih 30 tahun," kata Sun.

Badan hidupan liar antarabangsa, bersama-sama dengan kerajaan, berusaha tanpa henti untuk menghentikan perdagangan haram ini. Di sebalik kengerian aktiviti ini, terdapat sinar harapan.

Kesedaran yang semakin meningkat dan penguatkuasaan undang-undang ketat di Vietnam dan Korea Selatan membantu menyelamatkan beruang yang ditahan.

Pada Oktober lepas, Vietnam mencatat pencapaian penting dengan kejayaan menutup ladang hempedu beruang dengan bantuan World Animal Protection.

Pada 2005, sekitar 4,000 ekor beruang disimpan secara haram di 1,390 ladang hempedu di Vietnam. Tetapi jumlah itu menurun 95 peratus kepada 192 ekor di 60 ladang menjelang Ogos 2024, hasil kempen kesedaran luas.

"Kami mahu melihat setiap ekor beruang di Vietnam diselamatkan dan dipindahkan ke pusat perlindungan, bebas daripada kekejaman, kesakitan dan penderitaan," ujar Sun.

Korea Selatan juga mengumumkan kemenangan besar dengan menghentikan penternakan hempedu beruang bermula 1 Jan tahun depan, setelah lebih 40 tahun industri itu beroperasi.

-- BERNAMA