"Malangnya, kita kehilangan lima nyawa, jumlah keseluruhan mangsa yang cedera mencecah 22 orang," katanya kepada pemberita.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengecam serangan pengganas itu dengan berkata: "Saya mengutuk serangan keji ini ke atas kemudahan Turkish Aerospace Industries."
Naib Presiden, Cevdet Yilmaz turut mengecam serangan itu, dengan menyatakan, "Tindakan keji ini menyasarkan kejayaan Turkiye dalam industri pertahanan."
Menteri Luar, Hakan Fidan juga mengecam serangan tersebut, sambil menegaskan bahawa Turkiye akan terus berjuang "terhadap semua elemen pengganas, di dalam dan di luar negara, serta kuasa yang menyokong mereka."
"Pada masa akan datang, kita akan terus memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara kita dan tidak akan sesekali membenarkan mereka menyasarkan Turkiye, bersama proksi mereka untuk mencapai matlamat ke atas negara kita," kata Fidan menerusi X.
Menteri Pertahanan, Yasar Guler menyuarakan ketegasan Ankara dalam memerangi keganasan.
"Kami tidak akan berhenti sehingga pengganas terakhir ditewaskan, dan kami akan membalas perbuatan ini dengan setimpal. Semua orang akan menyaksikan perkara ini," kata Guler kepada pemberita.
Yerlikaya menyeru orang ramai agar bergantung kepada kenyataan daripada sumber rasmi untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Menteri Kehakiman negara itu turut mengecam serangan terbabit, dengan menyatakan: "Siasatan dimulakan oleh Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ankara mengenai serangan khianat ini, dengan seorang ketua pendakwa raya dan lapan pendakwa raya ditugaskan untuk kes ini."
Letupan dan bunyi tembakan kedengaran pada Rabu di kemudahan Turkish Aerospace Industries di daerah Kahramankazan, Ankara.
Menurut laporan, kakitangan syarikat pertahanan itu diarahkan untuk berlindung bagi tujuan keselamatan.
Pasukan keselamatan, jabatan bomba, serta Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) turut dihantar ke lokasi kejadian. - BERNAMA