HAMILTON (Kanada): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Rabu mengucapkan takziah kepada Turkiye susulan serangan pengganas yang menyasarkan kemudahan Turkish Aerospace Industries (TAI) di ibu negara, Ankara.

"Kami sedang menunggu maklumat lanjut, tetapi mengutuk serangan ini terhadap orang awam. Kami menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap semua yang cedera akan pulih sepenuhnya," kata timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq, kepada Anadolu bagi pihak Guterres.

Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, tiga orang maut dalam serangan itu manakala 14 lagi cedera.

Dua pengganas turut terbunuh, katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya mendapatkan perkembangan terkini hanya melalui kenyataan daripada sumber rasmi.

Di KAZAN, Presiden Rusia Vladimir Putin, turut mengucapkan takziah kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan atas serangan pengganas itu.

Bercakap secara peribadi di luar sidang kemuncak kumpulan BRICS yang dihadiri Erdogan sebagai tetamu, Putin berkata:

"Tuan Presiden yang dihormati, rakan-rakan sekalian, kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran anda ke Kazan. Namun, sebelum kita memulakan tugasan, saya ingin menyampaikan takziah berhubung serangan pengganas ini. Laporan media sedang diterima mengenai serangan pengganas di Turkiye."

Putin menambah, Rusia mengutuk sebarang bentuk keganasan.

Agensi Anadolu melaporkan, Setiausaha Agung NATO turut menyatakan solidariti dengan Turkiye.

"Laporan mengenai kematian dan kecederaan di Ankara sangat membimbangkan. NATO menyokong sekutu kami, Turkiye," kata Mark Rutte di platform X.

"Kami mengutuk keganasan dalam semua bentuk dan sedang memantau perkembangan dengan teliti," tambah Rutte.

Pasukan keselamatan, bomba dan paramedik dikerah ke kawasan kejadian.

Dilaporkan kakitangan firma pertahanan itu diarahkan ke tempat perlindungan atas sebab keselamatan.

Pendakwa raya Ankara melancarkan siasatan terhadap serangan pengganas yang menyasarkan kemudahan itu, menurut laporan berkenaan. - BERNAMA