Pengumuman itu menyusul ketika mana junta bergelut untuk mengekalkan cengkaman kuasa dengan pertempuran memuncak di pelbagai barisan hadapan selain situasi ekonominya yang sedang dalam krisis.
Media kerajaan dikendalikan tentera, Myawaddy, melaporkan, Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara yang dikawal tentera melanjutkan peraturan darurat untuk memberi junta lebih masa mengumpulkan data penduduk bagi senarai pemilih.
Junta sebelum ini, berkata ia akan mengadakan pilihan raya pada tahun depan.
Tentera meletakkan negara itu di bawah pemerintahan darurat selama setahun apabila ia mengambil alih pemerintahan dalam rampasan kuasa pada Februari 2021.
Ia menumbangkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih dan mencetuskan protes jalanan di seluruh negara di mana ia dipatahkan dengan cara ganas.
Junta sejak itu melanjutkan darurat setiap enam bulan, ketika gerakan protes berubah menjadi pemberontakan bersenjata yang sudah meluas dan kini menimbulkan ancaman kepada tentera.
Myawaddy melaporkan, adalah perlu untuk memulihkan keamanan dan kestabilan kerana aktiviti pengganas yang berterusan, merujuk kepada penentangan bersenjata.
Minggu lalu, semua tanggungjawab Presiden Myanmar diserahkan kepada ketua junta, Min Aung Hlaing, selepas ketua nominal negara itu berada dalam tempoh cuti sakit akibat penyakit yang berpanjangan.
Aung Hlaing berulang kali berjanji untuk mengadakan pilihan raya pelbagai parti, dengan pengundian akan dijalankan pada 2025.
Garis masa pilihan raya sebelum ini ditangguhkan, memetik keganasan yang berterusan sebagai puncanya.
Aung Hlaing menegaskan junta tidak merancang untuk memegang kuasa dalam tempoh lama.
Tentera mengambil alih kuasa selepas aduan penipuan dalam pilihan raya umum pada November 2020 yang dimenangi parti Suu Kyi, dakwaan yang dinafikan parti itu.
Kumpulan pemantau pilihan raya tidak menemukan bukti penipuan besar-besaran.