Pasukan tentera Mali menghadapi pertempuran sengit selama dua jam bagi mempertahankan bandar Gao, sebelum dibantu tentera Perancis.

Walaupun Gao berjaya dikuasai semula, kumpulan pelampau sentiasa melancarkan serangan bagi mengambil alih bandar itu.

Pertempuran sebelum ini, meletus di pinggir bandar dan ini kali pertama, kumpulan pelampau berjaya memasuki bandar sejak tentera menawan semula bandar itu sejak dua minggu lalu.

Selain itu, pertempuran di bandar tersebut membuktikan bahawa pasukan tentera Mali dan Perancis berdepan ancaman kumpulan pelampau yang bersenjata lengkap selain mempunyai pengalaman bertempur.

Pertempuran berlaku berhampiran ibu pejabat polis dan bantuan tentera Perancis menyebabkan kumpulan yang dipercayai ‘Movement for Oneness and Jihad for West Africa’ itu berundur ke kawasan gurun.

Selain Gao, tentera Mali dan Perancis juga bertungkus lumus mempertahankan beberapa bandar lain seperti Timbuktu daripada jatuh semula ke tangan pelampau.