KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan pelabur yakin dengan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah, kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.3700/3850 berbanding dolar AS berbanding 4.3805/3850 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan berterusan dalam indeks dolar AS (DXY) memberi petunjuk bahawa penurunan kadar faedah di AS dijangka berlaku seawal September tahun ini, menyaksikan peniaga menurunkan permintaan terhadap dolar US.

"Ini memberi manfaat kepada mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit.

"Simposium Jackson Hole yang berlangsung minggu ini di AS akan memberi beberapa petunjuk kerana pengerusi Fed AS Jerome Powell akan memberi lebih banyak penerangan mengenai potensi penurunan kadar faedah pada September depan," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata paras sokongan seterusnya bagi ringgit ialah 4.30 berbanding dolar AS dengan mengandaikan bahawa AS cenderung untuk menurunkan kadar faedah.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9799/9905 daripada 2.9946/9979, melonjak berbanding pound Britain kepada 5.6771/6966 daripada 5.6784/6843 ketika ditutup pada Isnin bagaimanapun jatuh berbanding euro kepada 4.8446/8612 daripada 4.8339/8388 semalam.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN,

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3412/3530 daripada 3.3424/3461 pada penutupan Isnin dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.74 daripada 7.73/7.74 sebelum ini.

Ia juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.9/282.1 berbanding 281.6/282.1 ketika ditutup semalam bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 12.7142/7664 daripada 12.7126/7308 sebelumnya.

-- BERNAMA