WASHINGTON: Iran didakwa menjadi dalang di sebalik penggodaman kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini, pegawai perisikan AS mengesahkan.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan agensi persekutuan lain dalam kenyataan bersama mendakwa, Iran telah memilih untuk campur tangan dalam pilihan raya AS “untuk mencetuskan perselisihan dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi demokrasi kita."

Pasukan kempen pilihan raya Trump pada awal bulan ini menuding jari ke arah Iran yang didakwa menggodam mesej dalaman.

Bagaimanapun, pegawai tertinggi Iran menafikan dakwaan itu.

Pasukan kempen pilihan raya Republikan dilaporkan telah menerima e-mel phishing iaitu mesej yang direka untuk kelihatan boleh dipercayai bertujuan memerangkap sasaran supaya membuka pautan berniat jahat itu.

“[Komuniti perisikan] yakin bahawa Iran telah melalui kejuruteraan sosial dan usaha lain mendapatkan akses kepada individu yang mempunyai akses terus kepada kempen Presiden kedua-dua parti politik,” kata pegawai perisikan AS dalam kenyataan itu.

"Aktiviti sedemikian, termasuk kecurian dan pendedahan, bertujuan untuk mempengaruhi proses pilihan raya AS."

Kenyataan itu muncul untuk mengesahkan laporan sebelum ini bahawa Iran juga telah cuba menggodam kempen Naib Presiden AS, Kamala Harris.

Pada minggu lalu, kem Harris mendakwa, mereka menjadi sasaran serangan e-mel phishing yang tidak berjaya.

Agensi yang mengeluarkan kenyataan pada Isnin termasuk FBI, Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan, dan Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur berkata, taktik itu "bukan baharu" dan menyatakan bahawa Rusia dan Iran telah menggunakan kaedah sedemikian semasa pilihan raya AS sebelum ini. .

Masih tidak jelas maklumat apa, jika ada, yang dicuri semasa penggodaman.

Trump berkata, penggodam hanya boleh mendapatkan maklumat yang tersedia secara umum.

Tetapi matlamatnya, kata pegawai, adalah jelas: Iran mahu membentuk keputusan pilihan raya yang diyakininya "terutamanya berbangkit dari segi kesannya terhadap kepentingan keselamatan negaranya."

Agensi AS menambah bahawa mereka telah "memerhati aktiviti Iran yang semakin agresif semasa kitaran pilihan raya ini."

Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai potensi penggodam Iran.

Baru-baru ini, Microsoft berkata ia telah melihat "kemunculan aktiviti pengaruh penting" oleh kumpulan yang dikaitkan dengan Iran.

Sebelum membuat keputusan berundur diri daripada pilihan raya, Presiden Joe Biden juga didakwa menjadi sasaran penggodam Iran, selain Trump. - Agensi