TOKYO: Penduduk Jepun kekal dalam keadaan berjaga-jaga pada Jumaat apabila Taufan Shanshan, yang mengorbankan empat orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 96 mangsa, terus bergerak ke arah timur laut negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Taufan Shanshan yang telah mengorbankan empat orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 96 mangsa di Jepun kini bergerak ke timur laut.
  • Pihak berkuasa meteorologi Jepun mengingatkan penduduk untuk terus berwaspada terhadap risiko tanah runtuh dan banjir.
  • Tiga orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Aichi, dan seorang lelaki berusia 80 tahun meninggal dunia di Tokushima akibat bumbung rumah runtuh.


Angka korban itu dilaporkan stesen televisyen Jepun NHK. Ini adalah taufan ke-10 yang melanda negara itu pada musim ini.

Walaupun bahagian hadapan cuaca telah melemah sejak taufan melanda Kyushu, pulau utama barat daya Jepun, pada awal pagi Khamis, ia terus meliputi sebahagian besar negara dengan hujan lebat.

Banjir dan kerosakan berlaku dan lalu lintas terganggu teruk.

Pihak berkuasa meteorologi Jepun menyeru penduduk untuk terus berwaspada kerana peningkatan risiko tanah runtuh dan banjir.

Tiga orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di wilayah tengah Aichi. Di Tokushima, di Shikoku, pulau terkecil daripada empat pulau utama Jepun, seorang lelaki berusia 80 tahun meninggal dunia apabila bumbung rumahnya runtuh, lapor NHK.

-- BERNAMA