PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat Taufan Shanshan yang mendarat di Kepulauan Kyushu, Jepun pada pagi Khamis, menurut Kementerian Luar Negeri.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata maklumat yang diterima adalah terkini setakat 4 petang waktu tempatan hari ini.

"Taufan itu dijangka bergerak ke arah barat daya Jepun sebelum menuju ke arah utara dan melintasi kawasan pertengahan Jepun seperti Wilayah Kanto (termasuk Tokyo) dalam beberapa hari akan datang," menurut Kementerian sambil menambah bahawa ia sedang memantau perkembangan itu dengan teliti.

Sehubungan itu, Kementerian menggesa rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dan mengemas kini keberadaan dan butiran mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di 20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo, atau menghubungi kedutaan melalui telefon di +81-3-3476-3840 atau +81-80-4322-3366 (kecemasan), atau melalui e-mel di mwtokyo@kln.gov.my dan consular.tyo@kln.gov.my.

Agensi Berita Kyodo melaporkan cuaca buruk mengakibatkan 80 orang mengalami kecederaan dan tiga kematian.

-- BERNAMA