KERALA: Angka korban dari lokasi tragedi tanah runtuh di Wayanad, daerah yang terletak di Kerala, selatan India terus meningkat kepada 77 individu setakat ini.

Berdasarkan laporan media tempatan yang mengikuti rapat perkembangan insiden itu termasuk Hindustan Times, ratusan orang turut dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan.

Kerajaan Kerala dalam kenyataan terbaharunya turut mengisytiharkan tempoh berkabung dua hari iaitu pada 30 dan 31 Julai 2024 bagi menghormati mangsa yang terkorban dalam insiden itu.

Jabatan Meteorologi India (IMD) dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan hujan lebat berterusan berlaku di Kerala, sekali gus menjadi punca kepada tanah runtuh dahsyat di daerah berkenaan.

"Anggota tentera yang dikerahkan ke lokasi terpaksa menggunakan kemahiran tersendiri dengan memasuki kawasan terjejas menggunakan tali untuk mengharungi arus deras.

"Jambatan sedia ada yang menghubungkan daerah itu dengan kawasan luar telah musnah akibat bencana," memetik laporan sama.

Dalam pada itu Pejabat Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan, mengesahkan kerahan anggota tentera ke lokasi terjejas turut menggunakan dua bantuan helikopter bagi memantau sebarang perkembangan berkaitan.

Pasukan kecemasan pula berkata, usaha menyelamat kekal mencabar kerana tiada sambungan internet di kawasan itu.

Menteri Perhutanan Negeri, AK Saseendran yang turut memberi komen berkata, situasi di daerah itu amat serius dan kerajaan didesak mengerahkan semua agensi untuk terlibat sama dalam operasi menyelamat.