JAKARTA: Tanah runtuh di Pekalongan, Jawa Tengah, meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa dan mengakibatkan tiga lagi dilaporkan hilang, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Kejadian yang berlaku pada Isnin pukul 5.30 petang waktu tempatan itu melanda Kampung Kasimpar, Petungkriyono, mengakibatkan dua rumah tertimbus, dua jambatan musnah, dan beberapa kenderaan dihanyutkan.

"Usaha mencari mangsa masih diteruskan hari ini dengan pasukan penyelamat gabungan sedang berusaha mengesan mangsa yang hilang, manakala 10 orang cedera dan telah dihantar ke klinik serta hospital berdekatan," kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) meramalkan hujan ringan hingga sederhana di Pekalongan dalam tempoh tiga hari akan datang, yang berpotensi menyebabkan banjir, banjir kilat, dan tanah runtuh.

BNPB menggesa penduduk, terutamanya yang tinggal berhampiran cerun dan tebing, supaya sentiasa berwaspada, memantau keadaan tanah secara berkala, dan berpindah sekiranya hujan lebat berterusan selama dua jam atau lebih.

-- BERNAMA