TAIPEI: Taiwan akan menaikkan elaun penjagaan anak sekurang-kurangnya NT$1,500 (US$46.52) sebulan mulai tahun depan sebagai inisiatif untluk meningkatkan kadar kelahirannya yang semakin menyusut, kata Perdana Menteri Chen Chien-jen.

Chen berkata mulai 1 Jan, subsidi untuk ibu bapa yang mempunyai anak di bawah tiga tahun yang menghadiri pusat jagaan awam akan dinaikkan kepada NT$7,000 sebulan berbanding NT$5,500, Agensi Berita Pusat (CNA) memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Eksekutif Yuan lewat Isnin.

Mereka yang menggunakan pusat jagaan harian swasta bersubsidi awam atau perkhidmatan penjagaan bayi di rumah akan menerima NT$13,000 sebulan, meningkat berbanding NT$8,500 pada masa ini.

Subsidi asuhan kanak-kanak tambahan akan ditawarkan kepada ibu bapa yang mempunyai dua atau tiga anak dan mereka daripada keluarga berpendapatan rendah atau sederhana rendah, menurut kenyataan itu.

Menurut perdana menteri, belanjawan kerajaan bagi mengatasi penurunan kadar kelahiran telah meningkat daripada NT$15 bilion pada 2016 kepada NT$120.1 bilion yang diunjurkan pada 2024.

Jumlah kelahiran baharu telah merosot, jatuh daripada 193,844 pada 2017 kepada 138,986 pada 2022, menurut statistik Kementerian Dalam Negeri.

Dalam lapan bulan pertama 2023 hanya 88,935 kelahiran baharu direkodkan.

-- BERNAMA