TAIPEI: Taiwan akan melanjutkan tempoh latihan wajib perkhidmatan ketenteraan daripada empat bulan kepada setahun, umum Presiden Tsai Ing-wen pada Selasa.

Beliau berkata tempoh itu berkuat kuasa mulai Januari 2024 dan gaji bulanan juga akan dinaikkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Peraturan baharu itu terpakai kepada semua lelaki Taiwan yang lahir selepas 1 Jan 2005.

"Keputusan itu sangat sukar. Tetapi sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai pemimpin negara untuk memastikan kelangsungan Taiwan...," kata Tsai pada sidang akhbar selepas mesyuarat keselamatan negara.

Tsai berkata pasukan keselamatan telah menghabiskan masa dua tahun untuk menyesuaikan langkah-langkah bagi memperkukuh keupayaan pertahanan Taiwan.

"Tiada siapa yang mahu berperang. Hanya dengan bersedia untuk berperang kita boleh menghalangnya," kata beliau.

Taiwan mempunyai kerajaan bebas sejak 1949 tetapi China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

-- BERNAMA