Presiden baru Indonesia Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, yang akan mengangkat sumpah Oktober ini, akan mengambil kira suara rakyat dalam pembentukan kabinet beliau.

Pada Khamis, Jokowi Center & Radio telah memuat naik satu undian yang dikenali sebagai Kabinet Alternatif Usulan Rakyat (KAUR). Lebih daripada 17,000 responden telah mengambil bahagian dalam undian ini.

Dokumen berkenaan dimuat naik di Google Docs dan terdapat tiga pilihan utama Jokowi bagi 34 jawatan kabinet.

Undian itu juga terdapat satu ruang kosong untuk orang ramai mencalonkan pilihan mereka.

“Pemilihan menteri memang hak prerogatif presiden. Namun bukan bererti rakyat tidak boleh mengambil bahagian,” tulis dokumen berkenaan.

Antara yang tersenarai adalah aktivis, ahli akademik, wartawan, dan ahli politik. Ada juga nama-nama dari ahli kabinet sekarang di bawah presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan juga bekas-bekas ahli kabinet sebelum ini.

Memetik laporan The Wall Street Journal, seorang penganalisis berkata langkah Jokowi adalah satu langkah politik, menunjukkan bahawa sebagai pemimpin dia akan mendengar suara rakyat Indonesia.

Ia juga senang untuk beliau berurusan dengan parti politik yang tradisional dalam membentuk kerajaannya.



Pada 22 Julai, Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan, pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla secara rasmi memenangi Pemilihan Umum Presiden (PILPRES) 2014 dengan jumlah undian sebanyak 53.15 peratus.