RATUSAN anak muda beratur bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Stadium Kelab Tottenham Hotspur di utara London pada Ahad.

Mereka yang berusia 18 tahun ke atas boleh memohon tarikh janji temu untuk menerima suntikan vaksin atau mendapatkannya secara 'walk-in' di stadium tersebut.

Stadium-stadium di London kini dijadikan sebagai antara pusat vaksinasi terbesar, bagi memudahkan anak muda di negara itu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Terdahulu pada Sabtu, pusat vaksinasi seumpamanya turut dibuka di venue lain termasuk stadium kelab Chelsea di Stamford Bridge dan Stadium Olimpik, milik West Ham United.

Untuk rekod, empat daripada lima orang dewasa di UK sudah mendapatkan  sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Kerajaan United Kingdom kini sedang mempergiat untuk memastikan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mendapatkan suntikan menjelang 19 Julai ini.

Tarikh tersebut merupakan garis masa yang ditetapkan untuk menarik semula lanjutan beberapa sekatan yang dikuat kuasakan.

Ia susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 secara drastik akibat varian Delta.