Jaishankar membuat kenyataan kepada Parlimen India untuk memberikan respons kerajaan terhadap perubahan politik di negara jiran itu.
Beliau menyatakan "hubungan India-Bangladesh sangat rapat selama beberapa dekad melalui banyak kerajaan" dan menunjukkan bahawa sejak pilihan raya pada Januari tahun ini "terdapat ketegangan yang ketara, perpecahan mendalam dan polarisasi yang semakin meningkat dalam politik Bangladesh".
Parti utama pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) memboikot pilihan raya kontroversi itu, yang digambarkan oleh lawan Hasina sebagai penipuan.
Bercakap mengenai protes besar-besaran yang memaksa Hasina, sekutu rapat jangka panjang India, meletakkan jawatan, Jaishankar berkata India sedang memantau keadaan dan "akan terus prihatin sehingga undang-undang dan ketenteraman dipulihkan dengan ketara".
Hasina yang menaiki pesawat tentera udara Bangladesh mendarat di pangkalan Tentera Udara India berhampiran New Delhi, beberapa jam selepas meletak jawatan.
"Pemahaman kami ialah selepas pertemuan dengan pemimpin keselamatan, perdana menteri Sheikh Hasina rupanya membuat keputusan untuk meletak jawatan. Dalam notis yang singkat, beliau meminta kebenaran untuk datang buat sementara waktu ke India. Pada masa yang sama, kami menerima permintaan untuk pelepasan penerbangan daripada pihak berkuasa Bangladesh. Beliau tiba petang semalam di Delhi," kata Jaishankar.
"Situasi di Bangladesh masih tidak menentu," katanya dalam kenyataan itu, sambil menyatakan ketua tentera Jeneral Waker-uz-Zaman dalam ucapan kepada negara menyatakan tentang memikul tanggungjawab dan membentuk kerajaan sementara.
-- BERNAMA