Bercakap kepada media tempatan sempena hari ke-100 beliau menyandang jawatan, Wong berkata, republik pulau itu juga akan terus mencari jalan untuk mengukuhkan perkongsian, membina hubungan baharu dan mengekalkan kepentingannya di pentas global.
"Malangnya, kita mesti menjangkakan lebih banyak lagi (krisis dan kejutan) akan datang kerana kita berada dalam dunia yang penuh dengan ketegangan geopolitik dan konflik bersenjata di mana-mana.
"Dalam dunia yang berbahaya dan bermasalah ini, hubungan kita dengan negara lain adalah penting dan menjalin hubungan baik dengan rakan-rakan, samada yang lama mahupun baharu, juga merupakan keutamaan utama bagi saya," kata Wong dalam sidang media pertamanya sejak memegang jawatan pada 15 Mei.
Transkrip temu bual itu dikongsi di laman web Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Wong berkata, sejak mengambil alih peranan baharu itu, beliau telah menerima kehadiran Perdana Menteri Laos dan Kemboja, serta melawat Malaysia dan Brunei.
Selain itu, Retreat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Malaysia akhir tahun ini, lebih banyak lawatan dalam ASEAN, diikuti oleh rakan kongsi utama di luar rantau ini juga dalam kalendar.
Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Laos, Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Peru dan Sidang Kemuncak G20 di Brazil, semuanya akan diadakan pada akhir tahun ini.
"Ini semua peluang untuk saya berhubung dengan rakan sejawat saya. Ada yang pernah saya temui sebelum ini; tetapi penting untuk saya bertemu mereka dalam kapasiti baharu saya, dan menjalin hubungan peribadi yang baik di peringkat kepimpinan, kerana itu menetapkan nada untuk hubungan keseluruhan kami," katanya.
Wong berkata, beliau merancang untuk bercakap lebih lanjut mengenai dasar luar republik dan persekitaran luaran kepada rakyat Singapura pada masa hadapan kerana ia akan membantu mereka memahami apa yang dipertaruhkan, terutamanya mengenai isu kritikal yang keselamatan kolektif dan kepentingan asas terlibat.
"Kita mesti boleh bersatu sebagai satu rakyat walaupun kita berbeza pandangan dan mengambil pendirian bersama pro-Singapura untuk memajukan kepentingan negara kita bersama-sama," katanya. - BERNAMA