Pihak Berkuasa Imigresen Pusat Pemeriksaan (ICA) menasihati pengembara untuk mengambil kira masa menunggu tambahan dari 15 Nov hingga 1 Jan 2025, terutamanya pada hujung minggu.
ICA mencatatkan, semasa cuti sekolah September lepas (30 Ogos hingga 8 September), lebih lima juta pengembara melintasi pos pemeriksaan Woodlands dan Tuas, yang menghubungkan Singapura dengan Malaysia.
"Jumlah pengembara paling ramai pada 6 September, dengan rekod lebih daripada orang 543,000 setiap hari. Pengembara yang menaiki kereta dan berlepas pada waktu puncak terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk pemeriksaan imigresen," kata ICA dalam satu kenyataan semalam.
Agensi itu turut menggesa pengembara untuk bekerjasama dengan pegawai ICA, mematuhi peraturan lalu lintas, dan mengekalkan disiplin lorong.
ICA memberi amaran, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengembara yang gagal mematuhi arahan pegawai atau melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan.
Bagi memastikan perjalanan lebih lancar, pengembara yang menaiki kereta atau motosikal digalakkan menggunakan kod QR sebagai pengganti pasport dan mengelakkan memotong barisan, kerana ia boleh menyebabkan kesesakan yang teruk dan membahayakan keselamatan pemandu lain.
"Pemandu yang didapati memotong barisan akan diminta berpatah balik dan beratur semula," kata ICA.
- BERNAMA