Malaysia-Singapura tingkat kerjasama jenayah rentas sempadan, tambah elemen jenayah siber
Malaysia dan Singapura akan terus memperkukuh kerjasama bagi membanteras jenayah rentas sempadan dengan menambah elemen jenayah siber selari dengan keperluan semasa.
Bernama
Wed Nov 13 2024
Saifuddin berucap pada Majlis Santai Bersama Diaspora Malaysia di Singapura. - Foto BERNAMA
SINGAPURA: Malaysia dan Singapura akan terus memperkukuh kerjasama bagi membanteras jenayah rentas sempadan dengan menambah elemen jenayah siber selari dengan keperluan semasa.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata memorandum persefahaman diperbaharui itu akan ditandatangani dalam pertemuannya dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura K. Shanmugam pada Khamis.
"Kita telah ada memorandum kerjasama rentas sempadan dengan Singapura. Selain mengekalkan elemen sedia ada, kita tambah elemen jenayah siber.
"Di peringkat ASEAN kerugian akibat jenayah siber adalah sebanyak US$64 bilion, di peringkat global jauh lebih tinggi," katanya kepada Bernama pada Majlis Santai Bersama Diaspora Malaysia di Singapura, di sini.
Beliau berkata kerjasama dalam bidang ini penting kerana jenayah siber tidak boleh ditangani secara sendiri terutamanya membabitkan tiga komponen iaitu pembangunan kapasiti, perkongsian perisikan dan operasi bersama.
Saifuddin Nasution berkata pertukaran dokumen memorandum persefahaman itu akan dilakukan pada Sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin-Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada 8 Dis nanti.
Beliau berkata lawatan ke republik ini juga adalah sebagai persediaan menjelang Sesi Pemukiman itu nanti yang akan dihadiri Perdana Menteri kedua-dua negara.
"Kita berharap perkara membabitkan isu di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu antara yang paling banyak dapat penyelesaiannya terutamanya untuk isu kesesakan di pintu masuk negara," katanya.