SHENZHEN: Bandar Shenzhen di selatan China menerima kumpulan pertama durian segar Malaysia apabila sebuah pesawat kargo yang membawa muatan seberat 27 tan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bao'an pada 3.09 pagi Isnin.

Kastam Shenzhen mengambil pelbagai inisiatif untuk memudahkan penghantaran bekalan berkenaan, antaranya termasuk perisytiharan kastam dilakukan lebih awal dan urusan berkaitan kutip tarif dipermudah.

Langkah sokongan turut diperkenal bagi memastikan prosedur pemeriksaan dan pelepasan kastam dilakukan dengan cepat selepas bekalan durian tiba di pintu sempadan.

Inisiatif berkenaan membolehkan durian segar diimport dari Malaysia terus sampai ke meja pengguna tempatan.

Penghantaran itu dilakukan selaras Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China yang dimeterai kedua-dua negara pada Jun.

Kini, jumlah keseluruhan perbelanjaan pasaran durian di China mencecah kira-kira 50 bilion yuan (RM30.45 bilion) saban tahun dengan kadar pertumbuhan tahunan sehingga 20 peratus.

-- BERNAMA