Seorang rakyat Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Hangzhou, wilayah Zhejiang terbunuh dan seorang lagi rakyat negara ini cedera dalam tragedi sewaktu sambutan ambang tahun baru di Shanghai, China.

Menurut kenyataan Kementerian Luar kepada Astro AWANI, pihak Kementerian sedang berusaha untuk menghubungi keluarga mangsa yang terbunuh sementara seorang lagi mangsa, Ooi Hooi Yi, 20, luka parah di mata selain kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.

Hooi Yi dihantar ke Hospital Changzheng, Shanghai dan pegawai kedutaan negara yang mengunjunginya memaklumkan mangsa kini berada di dalam keadaan stabil.

Kementerian Luar turut memaklumkan, pihak Konsulat Malaysia di Shanghai sedang memeriksa seandainya ada mangsa lain yang terlibat di dalam insiden berkenaan.

Di dalam kejadian pada malam tahun baharu itu, tiga lagi rakyat Taiwan dilaporkan antara 48 individu yang tercedera dalam tragedi berkenaan.

Kesesakan yang teruk sewaktu sambutan tahunan itu turut menyebabkan 35 orang maut.

Sementara itu, ketika memetik laporan portal berita Singapura Straits Times, mereka yang terbunuh termasuk 10 lelaki dan 25 perempuan yang berusia antara 16 hingga 36 tahun.

Kejadian berlaku sejurus kiraan detik menjelang tahun baru tengah malam tadi ketika orang ramai bertumpu di Chen Yi Square di Bund untuk meraikan kehadiran tahun baru, kata kerajaan China dalam satu kenyataan.

Punca kejadian masih disiasat dengan pemimpin tempatan menggesa kerajaan memberikan tumpuan kepada mereka yang cedera.

Sekeping gambar dalam akhbar Shanghai Daily memaparkan beberapa mayat bergelimpangan dan mereka yang cedera di lokasi sambutan.

Lokasi sambutan diubah ke kawasan baru di Bund tahun ini, berikutan kebimbangan kemungkinan tidak dapat menampung kehadiran pengunjung yang ramai.