"Kami berpeluang untuk mengambil bahagian dalam perjanjian penting ini, yang merupakan satu langkah besar ke arah keamanan muktamad di Casamance," lapor Anadolu Ajansi yang memetik Perdana Menteri Senegal Ousmane Sonko dalam sidang media bersama pada Ahad di Istana Republik Guinea-Bissau, bersama Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo dan Perdana Menteri Rui Duarte Barros.
Casamance, yang terpisah dari utara Senegal oleh Gambia, adalah tapak satu daripada konflik tertua di Afrika yang bermula pada 1982, mengorbankan ribuan nyawa serta menjejaskan ekonomi di rantau itu.
Memuji hubungan antara kedua-dua negara Afrika Barat, Perdana Menteri Senegal itu berkata beliau membawa mesej daripada Presiden Bassirou Diomaye Faye kepada rakan sejawatnya di Guinea-Bissau sebagai tanda penghargaan terhadap penglibatan negara itu dalam rundingan yang dimuktamadkan oleh sebuah jawatankuasa khas sejak tiga hari lalu, menurut laporan itu.
"Kami perlu menutup rundingan antara MFDC dan kerajaan Senegal," kata Sonko.
MFDC, yang ditubuhkan pada 1982, telah memperjuangkan kemerdekaan wilayah selatan Senegal, Casamance, yang bersempadan dengan Gambia.
Pada Mei 2023, sekurang-kurangnya 250 pejuang MFDC menyerahkan senjata mereka di Mongone, bekas kubu kuat kumpulan pemisah itu.
-- BERNAMA
