Aksi di Stadium Al Bayt menyaksikan Belanda muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan tuan rumah, Qatar, 2-0.
Pemain muda sensasi, Cody Gakpo, terus mencuri tumpuan dalam edisi kali ini apabila meledakkan gol pertama Oranje pada minit ke-26 sebelum bintang Barcelona, Frankie de Jong, menggandakan kelebihan itu pada minit ke-49.
Dengan kemenangan itu, Belanda menamatkan peringkat kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri manakala Qatar pula menamatkan kempen tanpa sebarang mata di tempat tercorot.
Dalam pada itu, juara Afrika, Senegal, mengiringi Belanda ke pusingan 16 selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Ecuador di Stadium Antarabangsa Khalifa.
Sedar hanya kemenangan dapat memastikan mereka memintas Ecuador, skuad Singa Teranga itu mempamerkan aksi terpuji dan mula menemui jaringan pada penghujung babak pertama hasil sepakan penalti bintang Watford, Ismaila Sarr pada minit ke-44.
Bagaimanapun, pasukan bimbingan Aliou Cisse itu cemas seketika apabila Moises Caicedo mengikat kedudukan buat Ecuador pada minit ke-67.
Mujur Kalidou Koulibaly masih mampu membawa watak penyelamat pasukannya dengan menghasilkan gol kemenangan Senegal pada minit ke-70, sekali gus mengesahkan tempat selaku naib juara Kumpulan A dengan enam mata, hanya dipisahkan dua mata dengan Ecuador di tempat ketiga.