Walaupun AS dengan jelas menentang serangan terhadap kemudahan nuklear Iran, Gallant berkata, Israel belum menolak sebarang pilihan.
"Segala tindakan dipertimbangkan," kata Gallant, yang akan bertemu dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin pada Rabu untuk menyelaraskan ancaman dari Iran dan sekutunya.
"Israel mempunyai keupayaan untuk menyerang sasaran yang dekat dan jauh - kami telah membuktikannya. Kami akan bertindak balas terhadap serangan Iran dengan sewajarnya.
“Kami tidak akan berdiam diri, dan begitu juga masyarakat antarabangsa tidak seharusnya berdiam diri," kata Gallant.
Gallant merupakan salah seorang perantara utama Israel dengan AS, sering berhubung dengan Austin dan pegawai tinggi White House.
Beliau juga bertemu dengan Ketua Komando Pusat AS, Jeneral Michael Erik Kurilla pada Ahad untuk membincangkan rancangan pembalasan Israel terhadap Iran.
Gallant turut memuji kejayaan kempen Israel terhadap Hezbollah setakat ini, dengan mendakwa rejim Zionis telah "membongkar sebahagian besar keupayaan mereka" dan Hezbollah kini berhadapan dengan "kekurangan kawalan dan arahan."
Menteri Pertahanan itu berkata, operasi darat kekal terhad kepada menyasarkan kedudukan Hezbollah yang lebih dekat dengan sempadan, walaupun operasi itu telah berkembang dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Gallant berpendapat, serangan yang dilancarkan Israel terhadap Hezbollah "telah menyebabkan keretakan yang kini membuka pintu kepada perubahan bukan sahaja di Lubnan, tetapi di seluruh Asia Barat." - CNN