Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dijangka akan melantik seorang menteri agama yang baru esok bagi menggantikan menteri sebelum ini, Suryadharma Ali yang letak jawatan selepas dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana wang simpanan bakal jemaah haji.

Lantikan menteri agama baru itu dijangka akan diumumkan pada petang Jumaat, lapor laman web Kompas.com.

Susilo disebut-sebut akan menamakan Timbalan Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan, Lukman Hakim Saifuddin sebagai Menteri Agama yang baru.

"Maklumat yang saya tahu seperti itu. Lengkapnya tanya Pak Sudi (Menteri Setiausaha Negara, Sudi Silalahi). Esok selepas solat Jumaat (dilantik)," kata Timbalan Setiausaha Agung Dewan Pimpinan Pusat PPP, Syaifullah Tamliha seperti dipetik oleh laman web akhbar harian itu.

Menurut Syaifullah, menteri agama yang baru nanti akan mendapat tugas berat. Namun katanya, Lukman sudah sedia untuk memikul tugas itu dan meneruskan pekerjaan yang ditinggalkan oleh Suryadharma Ali.

Jelas beliau, antara yang harus mendapat perhatian Lukman pada waktu singkat beliau memegang jawatan itu nanti ialah penyelenggaraan haji, penetapan awal bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri serta peringatan hari kemerdekaan pada 17 Ogos. Pada majlis peringatan hari bersejarah itu, Menteri Agama akan bertugas membaca doa.

Lukman juga dijangka akan diuji dengan isu toleransi antara fahaman agama yang ketara menjadi antara masalah dasar di Indonesia sejak akhir-akhir ini.

Ketua Umum PPP, Suryadharma Ali mengundurkan diri sebagai Menteri Agama setelah terjerat kes siasatan penyelewengan penyelenggaraan haji. Jawatan itu sekarang dipangku oleh Menteri Koordinator Kesejahteraan Rakyat, Agung Laksono.

Indonesia akan memilih presiden baru pada 9 Julai ini.