Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB), bersama Kementerian Dalam Negeri dan Jawatankuasa Penyiasatan, telah mengenal pasti dan menahan seorang warga Uzbekistan yang dilahirkan pada 1995, lapor agensi berita negara Tass, memetik kenyataan agensi keselamatan itu.
FSB telah menyerahkan suspek kepada Jawatankuasa Penyiasatan Rusia, menurut kenyataan itu yang menyatakan bahawa suspek mengaku telah direkrut oleh perkhidmatan khas Ukraine.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Dalam Negeri Irina Volk menerusi Telegram memaklumkan bahawa suspek ditangkap di Kampung Chernoe, Wilayah Moscow.
Pada Selasa, Kirillov dan pembantunya terbunuh dalam satu letupan di Prospekt Ryazansky, Moscow.
Jurucakap Jawatankuasa Penyiasatan Rusia Svetlana Petrenko berkata letupan itu disebabkan bahan letupan yang diletakkan pada sebuah skuter berhampiran pintu masuk bangunan pangsapuri di kawasan terbabit.
Beliau turut berkata jawatankuasa itu telah melancarkan siasatan jenayah terhadap serangan itu, yang kemudian diklasifikasikan sebagai "serangan pengganas."
Timbalan Ketua Majlis Keselamatan Rusia Dmitry Medvedev menyifatkan pembunuhan Kirillov sebagai usaha untuk menakut-nakutkan rakyat Rusia dan menghentikan kemaraan tenteranya di Ukraine, sambil berjanji bahawa kepimpinan politik-tentera Kyiv akan menghadapi "balasan yang tidak dapat dielakkan."
Menurut Agensi Anadolu, beberapa media Ukraine, termasuk agensi berita negara Ukrinform, memetik sumber yang mengatakan Kirillov dibunuh sebagai sebahagian daripada "operasi khas" oleh Perkhidmatan Keselamatan Negara Ukraine (SBU).
Bagaimanapun, pihak berkuasa Ukraine belum secara rasmi mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu.
Pembunuhan Kirillov juga berlaku sehari selepas SBU mendakwanya secara in absentia atas tuduhan mengarahkan "penggunaan senjata kimia terhadap Pasukan Pertahanan Ukraine."
-- BERNAMA