RAMADAN yang disambut sebilangan besar umat Islam hari ini seharusnya menyaksikan gencatan senjata di Gaza, bukannya penderitaan berterusan, tegas Ketua Agensi Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini.

Menurut Lazzarini, "kebuluran melampau" merebak dengan pantas di Gaza, manakala dua lagi rakyat Palestin mati kebuluran di utara Gaza menjadikan jumlah kematian akibat kekurangan zat makanan kepada 25 orang.

Kata beliau, bulan Ramadan di wilayah Palestin ini terus menyaksikan "perpindahan berterusan dan ketakutan serta kebimbangan berlaku di tengah-tengah ancaman operasi ketenteraan di Rafah" di titik paling selatan Gaza.

“Bulan ini sepatutnya membawa gencatan senjata kepada mereka yang telah lama menderita. Mereka memerlukan rehat dan ketenangan fikiran. Ia (gencatan senjata) sepatutnya sudah lama dilakukan,” katanya dalam hantaran di akaun X.


Tentera Israel memperhebatkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, di kem pelarian Nuseirat dan kawasan al-Mawasi di selatan Gaza.

Sementara itu, seperti kelazimannya, kehadiran Ramadan disambut meriah oleh umat Islam di Asia Barat termasuk di Palestin.

Wartawan Palestin, Omar al-Dirawi memuat naik video ke akaun Instagramnya yang menunjukkan kanak-kanak di pusat perubatan Deir el-Balah di tengah Semenanjung Gaza memukul periuk dan melambai bunga api kecil untuk berbunyi pada awal bulan suci umat Islam.

Kanak-kanak itu, dipindahkan dari rumah mereka akibat pengeboman Israel, kini berlindung di dalam hospital.