RIO GRANDE DO SUL: Ribuan pelajar di selatan Brazil tidak dapat belajar selepas bencana banjir besar menenggelamkan beberapa buah sekolah dengan sebahagian besar sekolah pula dijadikan tempat perlindugan mangsa banjir.

Situasi ini dikhuatiri menimbulkan kebimbangan mengenai kesihatan mental mereka.

Daripada lebih 2,000 sekolah awam negeri Rio Grande do Sul, hampir satu perlima masih ditutup menyebabkan kira-kira 185,000 pelajar terjejas.

Menurut pegawai negeri, banjir itu menyebabkan 169 orang terkorban dan lebih 580,000 kehilangan tempat tinggal.

Di bahagian utara ibu negeri Porto Alegre, berhampiran Sungai Guaiba, yang masih melebihi paras banjir, Sekolah Rendah Brasilia masih ditenggelami air.

Gelanggang bola sepak sekolah menjadi sebuah kolam, manakala bilik darjah dan buku diselaputi dengan lumpur.

Di sebuah kawasan di Porto Alegre, seorang pengetua sekolah, Marcio Freitas berkata beliau telah menghadapi banyak cabaran bekerja dalam pendidikan awam sepanjang tahun, tetapi tidak sebesar ini.

“Kami akan menjadi sokongan emosi untuk ibu bapa dan pelajar sebaik sahaja mereka kembali, untuk kira-kira 800 pelajar yang kami ada.

"Tidak ada ruang untuk menderita berpanjangan, perlu bangun dengan cepat. Itulah kehidupan dalam pendidikan.

"Pendidikan awam penuh dengan cabaran dan saya harap kita semua dapat atasi segalanya," katanya.

Hujan yang bermula pada akhir April telah menyebabkan beberapa sungai dan tasik di negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil mencapai paras tertinggi.