Pasukan pendakwa khas yang menyiasat kegagalan cubaan Yoon untuk melaksanakan undang-undang tentera menyatakan bahawa perintah pertama telah dihantar pada Rabu lepas, meminta beliau hadir di Pejabat Pendakwa Raya Daerah Seoul Tengah pada pukul 10 pagi, Ahad.
Bagaimanapun, Yoon tidak hadir.
Pendakwa Raya merancang untuk mengeluarkan perintah kedua kepada Yoon pada Isnin, menurut pegawai.
Seorang pegawai pendakwa mengesahkan bahawa perintah itu telah disampaikan ke pejabat Yoon, namun enggan memberi komen mengenai sama ada Yoon telah memberikan penjelasan mengenai tindakan tidak patuhnya.
Yoon didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk mengisytiharkan undang-undang tentera bagi tujuan yang tidak sah dan tidak berperlembagaan, termasuk mengarahkan komander tentera untuk menghantar tentera ke Parlimen dan menahan tokoh politik penting.
Para penyiasat juga sedang meneliti sama ada Yoon mengaturkan satu pemberontakan. Presiden yang digantung itu kini dikenakan larangan perjalanan sebagai sebahagian daripada siasatan.
Yoon menghadapi pendakwaan selepas undian Parlimen pada Sabtu, hanya 11 hari selepas beliau mengisytiharkan undang-undang tentera, yang segera ditolak oleh Parlimen dalam beberapa jam selepas pengumumannya.
Beliau masih digantung daripada tugasnya sementara Mahkamah Perlembagaan meneliti sama ada untuk mengembalikan beliau atau menyingkirkannya daripada jawatan. Sementara itu, Perdana Menteri Han Duck Soo bertindak sebagai pemangku presiden.
Pendakwa raya dan polis juga sedang menyoal siasat komander tentera berkaitan dengan dekri undang-undang tentera yang kontroversi itu.
-- BERNAMA