SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengumumkan penarikan semula perintah undang-undang tenteranya susulan undian di Parlimen yang membatalkan pengisytiharan berkenaan.

Menurut Yoon, beliau akan menarik balik perintah undang-undang tenteranya sebaik sahaja mendapat tahap sokongan yang diperlukan daripada Kabinetnya.

Ketika ini, kata Yoon, beliau memerlukan masa untuk mendapat sokongan berikutan Kabinetnya belum lagi bersidang hari ini untuk menyokong penarikan perintah berkenaan.

Kenyataan ini dibuat Yoon sebelum pukul 5 pagi Rabu waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia).

Serentak itu, Presiden Yoon turut menarik balik tentera yang dikerahkan untuk melaksanakan perintah tersebut selepas Dewan Negara mengundi - dengan 190 Ahli Parlimen sepakat menyekat dekri itu.

Dalam kenyataan terbaharu itu juga, beliau sekali lagi menyerang parti pembangkang kerana mengecewakan langkah kerajaannya, menggandakan justifikasi awal untuk perintah itu.

Pada Selasa, Presiden Yoon dilaporkan mengisytiharkan undang-undang tentera, sambil menuduh parti pembangkang terlibat dalam "aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan."

"Undang-undang tentera ini bertujuan membanteras kumpulan pro-Korea Utara dan melindungi kestabilan perlembagaan berteraskan kebebasan," kata Yoon dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Langkah ini diambil selepas Parti Demokratik pembangkang meluluskan rang undang-undang belanjawan berskala kecil dalam jawatankuasa belanjawan Parlimen, selain mengemukakan usul pendakwaan terhadap seorang juruaudit negara dan ketua pendakwa raya. 

Berikut kenyataan penuh Presiden Yoon Suk Yeol:

“Seluruh rakyat yang dihormati, saya mengisytiharkan undang-undang tentera pada pukul 11 malam tadi dengan tekad yang kuat untuk menyelamatkan negara daripada pasukan anti-negara yang cuba melumpuhkan fungsi penting negara dan memusnahkan perintah Perlembagaan demokrasi liberal.

“Bagaimanapun, sebentar tadi, Dewan Negara menuntut supaya undang-undang tentera ditarik balik, maka tentera yang dikerahkan untuk urusan undang-undang tentera ditarik balik.

“Undang-undang tentera akan ditarik balik serta-merta dengan menerima permintaan Dewan Negara melalui mesyuarat Majlis Negeri (Kabinet).

“Bagaimanapun, walaupun kita telah segera mengadakan mesyuarat Majlis Negeri, memandangkan masih awal pagi dan kuorum penyelesaian masih belum dipenuhi, undang-undang tentera akan ditarik balik sebaik sahaja ia dicapai.

“Bagaimanapun, kami meminta Dewan Negara untuk segera menghentikan tindakan melulu yang melumpuhkan fungsi negara melalui pemecatan berulang, manipulasi perundangan dan manipulasi bajet.”