WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadual akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Rumah Putih pada minggu depan.

Menurut kenyataan Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karine Jean-Pierre pada Selasa, antara topik yang bakal menjadi agenda perbincangan kedua-dua pemimpin itu dalam mesyuarat pada 13 Jan itu termasuk mengenai program senjata Korea Utara, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine serta isu "mengekalkan keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan", lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jean-Pierre berkata Presiden AS itu merancang untuk "mengulangi sokongan penuhnya terhadap Strategi Keselamatan Negara Jepun".

Jepun baru-baru ini mengumumkan mengenai strategi memperkasa keupayaan pertahanannya memandangkan usaha China untuk memperluas kuasa dan ancaman Korea Utara.

Pyongyang baru-baru ini juga dilaporkan melancarkan beberapa peluru berpandu yang dilihat meningkatkan lagi ketegangan di Semenanjung Korea.

-- BERNAMA